Terdapat pelbagai definisi yang dapat diberikan kepada Industri Kecil Sederhana (IKS). Hal ini demikian kerana, ia mengikuti aspek-aspek tertentu bagi sesuatu jenis perniagaan seperti nilai output, jumlah kerja yang diupah, saiz aset tetap, modal, jualan dan sebagainya. Sebuah negara menggunakan saiz piawai dan kriteria yang berbeza sabagai pengukuran dan pentaksiran IKS. Di Malaysia, sebuah agensi telah ditubuhkan dengan objektif untuk membangunkan dan mengkordinasikan program-program IKS iaitu Perbadanan Pembangunan Industri kecil dan Sederhana. IKS dalam sektor perkilangan didefinisikan sebagai syarikat yang mempunyai nilai jualan tahunan yang tidak melebihi RM 25 juta dan pekerja sepenuh masa tidak melebihi 150 orang.
Manakala menurut Kemeterian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di dalam laporannya pada tahun 1994 telah mendefinisikan IKS daripada sudut modalnya. Seperti industri kecil, jumlah modalnya adalah kurang daripada RM 500,000 dan industri sederhana pula memiliki jumlah modal dalam lingkungan RM 500, 000 hingga RM 2.5 juta. Berdasarkan kepada definisi ini menunjukkan IKS dapat dikategorikan kepada banyak jenis mengikut aspek-aspek tertentu. Menurut kajian oleh MITI juga, didapati IKS Di Malaysia lebih tertumpu kepada industri yang berasaskan kepada makanan, pemasaran dan perabot serta kejuruteraan ringan yang hanya berasaskan kepada bahan binaan sahaja.
Membuka Peluang Pekerjaan
Satu perkara yang sering diperkatakan dalam IKS ialah ia berupaya membuka lebih banyak peluang-peluang pekerjaan kepada orang ramai. Hal ini demikian memandangkan IKS mampu menggunakan tenaga buruh secara intensif dalam teknik pengeluaran mereka berbanding dengan firma-firma besar. Ini secara terus dapat membuka peluang pekerjaan yang banyak dalam beberapa fungsi pengeluaran dalam operasi IKS.
Data dalam bancian perindustrian perkilangan dalam tahun 1991 menunjukkan bahawa modal tetap untuk seorang tenaga pekerja meningkat mengikut saiz firma terutamanya kepada firma yang memiliki 100 orang pekerja dan ke atas.
Dianggarkan bahawa jumlah kapital untuk setiap orang pekerja bagi IKS mempunyai lebih kurang 14 hingga 50% lebih rendah berbanding dengan industri bersaiz besar. Keseluruhannya, dalam semua bancian dan penyelidikan yang telah dijalankan di dapati bahawa semakin besar saiz sesebuah industri, semakin tinggi penggunaan kapital atau modal.
Tabungan dalam Ekonomi dan Pengagihan Pendapatan
Kegiatan IKS baik secara langsung mahupun tidak langsung dapat membantu meningkatkan jumlah tabungan dalam ekonomi negara. Dalam kebanyakan operasi industri kecil, sejumlah besar sumber kewangan dan modal datangnya daripada pemilik sendiri. Terdapat juga modal yang disumbangkan oleh ahli keluarga, relatif atau kawan, di samping rakan perniagaan mereka. Kajian menunjukkan bahawa lebih 70% daripada sumber kewangan dalam IKS berpunca daripada pemilik atau pengusaha masing-masing.
Hal ini demikian jelas membayangkan bahawa IKS menjadi sumber utama kepada jumlah tabungan dan simpanan negara. Sekiranya jumlah modal dan sumber kewangan tersebut tidak dilaburkan dan digunakan dalam IKS, berkemungkinan besar ia akan digunakan untuk perbelanjaan keperluan yang lain. Justeru itu, penubuhan dan kegiatan industri kecil dari segi ekonomi menggalakkan kadar simpanan dan tabung ekonomi. Ini boleh meningkatkan keseluruhan kadar simpanan penduduk dalam negara dan mengurangkan masalah kenaikan kadar inflasi. Selain itu, sumber-sumber bahan mentah yang digunakan oleh IKS seperti mesin, peralatan, pejabat dan bangunan juga membantu ke arah meningkatkan tabung simpanan negara. IKS, dalam konteks ini juga, boleh mengurangkan kadar pembaziran yang berlebihan.
Latihan kepada Pekerja
Peranan IKS sebagai tempat latihan dalam pelbagai kemahiran untuk pekerja, pengusaha dan bakal pengusaha tidak dapat dipertikaikan lagi. Dengan jumlah modal tersebut, pengusaha IKS dapat membina latihan dan pengetahuan yang berguna mengenai selok-belok operasi perniagaan dan bergantung hidup kepada perniagaan tersebut.
Selain itu, sebahagian besar pengusaha dan pekerja dalam IKS mempunyai taraf pendidikan yang rendah. Tahap pendidikan yang rendah ini jelas jika dibandingkan dengan para pengurus dan pekerja di dalam firma besar dan syarikat antarabangsa yang lain.
Justeru itu, melalui penyertaan dalam IKS, mereka bukan sahaja mendapat latihan, tetapi juga dapat meningkatkan pengalaman latihan dan kemahiran tersebut. Latihan dan kemahiran yang dapat diperolehi dalam IKS juga tidak terhad kepada satu-satu bidang operasi.
Kaedah pengeluaran yang lebih menekankan intensif tenaga buruh dalam IKS dan ketiadaan pengkhususan bidang kerja yang tetap dan jelas menyebabkan ramai pekerja dapat menimba latihan dan kemahiran tersebut dalam pelbagai fungsi dan bidang operasi.
Memperkukuhkan Asas Industri Negara dan Hubungjalin dengan Firma Besar
IKS memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dengan mewujudkan, mengembangkan, dan mengukuhkan lagi struktur asas pembangunan industri negara. Pembangunan ekonomi yang pesat sejak 1970-an hingga ke hari ini, telah banyak menghubung dan menggabungkan ekonomi negara ini dengan keadaan, perubahan dan aktiviti ekonomi antarabangsa.
Hasilnya, struktur pembangunan industri di Malaysia lebih berbentuk pergantungan dan penyesuaian pengeluaran barangan untuk pasaran eksport. Keadaan pasaran tempatan yang kecil tidak menjadi satu pendorong yang kuat.
IKS juga dapat memberi sumbangan penting kepada pembangunan ekonomi negara melalui hubungjalin mereka dengan firma besar dan syarikat antarabangsa. Hubungjalin yang tersusun dan ikhlas dapat menjamin penerusan, perkembangan dan kejayaan IKS baik dari segi meringankan beban kapital, kos pengurusan, pengangkutan mahupun pemasaran.
Selain itu, IKS dengan penyesuaian mereka kepada intensif tenaga buruh dapat mengeluarkan barangan yang tidak dapat dihasilkan oleh syarikat dan firma besar. Pembuatan barangan makanan, pakaian dan alatan perabut daripada industri kecil sekurang-kurangnya dapat memenuhi kepuasan citarasa pengguna dalam negeri.
KESIMPULAN
Di Malaysia, kesedaran pelbagai pihak tentang keperluan dalam melahirkan usahawan yang berkemampuan dan bertaraf antarabangsa serta pekerja mahir adalah tinggi. Dalam pembangunan pesat ekonomi sekarang, keperluan dalam meningkatkan penyertaan bumiputera dalam kegiatan perindustrian dan perdagangan di samping memenuhi hasrat dan objektif pembangunan negara serta merealisasikan wawasan 2020 juga telah menjadi satu kesedaran umum.
Penubuhan satu kementerian baru dalam kabinet kerajaan Malaysia selepas pilihanraya 1995, iaitu Kementerian Pembangunan Usahawan telah membayangkan kesedaran dan keperluan ini. Selaras dengan itu juga, pelbagai pihak telah mula menyedari bahawa salah satu langkah penting dalam mencapai hasrat ini ialah melalui bantuan dan sokongan kepada pembangunan IKS.
Kadar pembangunan ekonomi negara semakin pesat, pertumbuhan sektor perkilangan yang meyakinkan dan wawasan negara ke arah negara perindustrian 2020, ternyata memerlukan sokongan dan sumbangan IKS yang lebih besar dan bermakna.
0 comments:
Post a Comment